skadi's picture

Jarum Emas: Belum jadi artis, dah ada Fan Club

Jarum Emas: Belum jadi artis, dah ada Fan Club

BUKAN satu dua, tetapi berpuluh Kelab Peminat ditubuhkan. Jika artis lama seperti Rosyam Nor mempunyai Kelab Peminat atau glamor disebut Fan Club, itu tidak menjadi hal.

Setidaknya dengan bersinarnya kelab itu, artis berkenaan boleh lebih mesra dengan peminat. Artis sendiri tidak dapat menidakkan betapa pentingnya peminat pada mereka.

Namun bagaimana pula jika belum menjadi artis? Dalam erti kata album pun ‘tarak’, nak berlakon filem pun masih terkial-kial cari peluang, dah berani tubuh Fan Club?

Semalam, pelajar Akademi Fantasia 5 (AF5), Dafi atau Ghadafi Ismail Sabri muncul dengan Fan Club. Jumaat minggu lalu, Kelab Heliza AF ditubuhkan.

Heliza atau nama penuhnya Nur Heliza Hilmi mewakili Terengganu tetapi mengambil kira dia bermastautin di Sabah sejak kecil, kalangan masyarakat di kawasan itu mengambil inisiatif menubuhkan Kelab Heliza AF di Bangunan Umno Kalabakan.

Penubuhan Kelab Heliza menunjukkan komitmen terbaik apabila ia disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kalabakan yang juga Ketua Umno Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh.

Turut hadir Setiausaha Politik Menteri Di Jabatan Ketua Menteri yang juga Ketua Wanita Umno Kalabakan, Datuk Hamisa Samad selain ibu bapa Heliza, Hilmi Hasbi dan Latifah Muhammad.

Untuk tempatkan diri di persada seni sememangnya menuntut kita bersaing sesama sendiri. Menilai sudut positif, ia sesuatu yang baik untuk seseorang memancing publisiti.

Cuma peliknya status Heliza atau Dafi belum lagi menjadi artis, mengapa terburu-buru menubuhkan Fan Club. Perlu sedar, arena showbiz kita, khususnya nyanyian, menuntut strategi bersistematik jika mahu mencipta kejayaan gemilang, bukan setakat strategi ikut-ikutan.

Dalam keadaan pasaran album yang bukan saja lembap, bahkan semput terus hingga album mahu cecah 5,000 unit pun ‘sakit’, saya mahu melihat sejauh mana presiden kelab artis ke, peserta program realiti ke dapat memastikan artis mereka dapat muncul dengan album.

Kalau tiada album, apakah langkah terbaik untuk presiden kelab begini merangka pelan lain supaya artis dinaunginya dapat terus bersaing, sekali gus menempatkan nama di persada seni tanah air. Janganlah nanti nama kelab saja gah, tetapi artis mengigit jari saja.

ADAM: Kerbau dipegang pada tali, manusia pada janji.

m44